[VIDEO] Sock Tao nafi kempen PH langgar akta

A
A
A

HULU SELANGOR - Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao menafikan pihaknya melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 ketika berkempen seperti didakwa pembangkang.

Jelas anak kelahiran Ampang itu, sepanjang tempoh kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu berlangsung tiada aktiviti yang menyalahi undang-undang dilakukan pihaknya.

"Saya yakin setakat ini kempen Kerajaan Perpaduan berjalan berlandaskan peruntukan undang-undang.

"Pihak pembangkang berhak untuk bersuara apa-apa sahaja tetapi saya yakin kita berkempen secara berhemah dan ikut undang-undang sepanjang masa," katanya kepada pemberita ketika meninjau proses undi awal di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Baharu di sini pada Selasa.

Sock Tao
Sock Tao

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Perikatan Nasional (PN) memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya ekoran mendakwa PH menyalahgunakan aset kerajaan dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Isnin bagaimanapun dilapor berkata, petisyen itu akan dikemukakan bergantung kepada keputusan pilihan raya.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau bersedia sekiranya petisyen itu dibuat pembangkang, Sock Tao berkata, ia bergantung kepada keadaan semasa.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini fokus kita adalah untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan dan seterusnya kita akan lihat situasi macam mana," katanya.

PRK Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan majoriti 4,119 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April lalu sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei.

DUN Kuala Kubu Baharu memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!