Malaysia tunduk kepada Denmark 2-3

Aksi pasangan Lelaki negara Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik (kanan) ketika menentang pasangan Denmak, Kim Astruo dan Anders Skaarup Rasmussen pada saingan Kumpulan D Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone pada Selasa. Foto Bernama
Aksi pasangan Lelaki negara Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik (kanan) ketika menentang pasangan Denmak, Kim Astruo dan Anders Skaarup Rasmussen pada saingan Kumpulan D Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

SKUAD badminton lelaki negara menamatkan saingan Kumpulan D Piala Thomas 2024 sebagai naib juara selepas tewas kepada Denmark 2-3 dalam perlawanan yang berlangsung pada Selasa.

Kedua-dua pasukan yang sudah pun mengesahkan kemaraan ke suku akhir tetap menurunkan barisan terkuat dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech, Chengdu itu.

Skuad negara nyata terlalu mengharapkan kepada gandingan beregu untuk meraih mata dengan ketiga-tiga perseorangan negara gagal menyumbang sebarang kemenangan dalam aksi tersebut.

Dalam perlawanan pertama, pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia gagal menghadiahkan kemenangan yang diharapkan apabila tunduk kepada pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen.

Zii Jia yang belum kalah dalam dua penampilan ketika menentang Hong Kong dan Algeria pada peringkat kumpulan terpaksa akur dengan kemampuan Axelsen untuk tewas 16-21, 22-24.

Bagaimanapun, beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menebus kekalahan itu biarpun terlebih dahulu tewas pada set pertama 17-21 kepada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Mereka bangkit bergaya pada set kedua 21-17 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum menang 21-16 ke atas beregu di ranking keempat dunia itu.

Namun, Leong Jun Hao yang diletakkan sebagai perseorangan kedua tidak mampu untuk menandingi pengalaman dan kualiti Anders Antonsen untuk tewas 14-21, 10-21 membolehkan Denmark kembali berada di hadapan.

Artikel Berkaitan:

Gandingan beregu sekali lagi menyelamatkan keadaan menerusi Goh Sze Fei-Izzuddin Rumsani yang tampil dengan permainan bertenaga untuk menumbangkan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 23-21, 22-20.

Harapan kejutan mampu dilakar pemain di ranking ke-233 dunia, Justin Hoh tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain di ranking ke-26 dunia, Rasmus Gemke.

Aksi pemain perseorangan Lelaki negara Justin Hoh ketika menentang pemain Denmak, Rasmus Gemke pada saingan Kumpulan D Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone hari ini. Foto Bernama
Aksi pemain perseorangan Lelaki negara Justin Hoh ketika menentang pemain Denmak, Rasmus Gemke pada saingan Kumpulan D Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone hari ini. Foto Bernama

Pujian tetap perlu diberikan kepada Justin apabila dia tampil dengan tentangan sengit untuk bangkit daripada tewas pada set pertama 13-21 untuk melakar kemenangan 21-19 pada set kedua.

Justin dan Gemke terus memberikan permainan menarik pada set ketiga sebelum aksi itu memihak kepada pemain Denmark tersebut 13-21.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!