[VIDEO] Papagomo didakwa hasut undang kebencian terhadap Agong

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Blogger kontroversi, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, minggu lalu.

Wan Muhammad Azri, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, dia yang juga bekas Exco Pemuda UMNO didakwa membuat penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd yang mengadap Sultan Ibrahim di aplikasi X miliknya atas nama ‘Sir Azri’.

Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris (dua, kiri) atau Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Foto Bernama
Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris (dua, kiri) atau Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Foto Bernama

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini, pada jam 12 tengah hari, 29 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat mencadangkan, tertuduh tidak diberi ikat jamin.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya mahkamah mahu mengguna budi bicara untuk menawarkan ikat jamin, kadar itu perlu ditetapkan pada nilai yang tinggi kerana ia membabitkan nama Agong.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pendakwaan juga memohon tertuduh dikenakan perintah larangan daripada mengeluarkan komen atau kenyataan mengenai kes terbabit.

“Ia akan memastikan perjalanan kes tidak diganggu sekali gus mengekalkan ketenteraman awam dan memastikan tiada komen yang dapat menyebabkan provokasi antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri berkata, pertuduhan dihadapi anak guamnya itu merupakan kesalahan yang boleh dijamin.

“Menggunakan perintah larangan bersuara seolah-olah terjumlah kepada satu bentuk hukuman kepada anak guam saya,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan, melaporkan diri ke balai polis sekali setiap bulan hingga kes selesai.

“Mahkamah tidak membenarkan larangan suara yang dicadangkan pihak pendakwaan,” katanya yang turut menetapkan sebutan semula kes pada 23 Mei ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!