Elak umum projek pada musim PRK

Jais Abdul Karim
Jais Abdul Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa kerajaan mengelak daripada membuat pengumuman pemberian kontrak atau projek semasa musim pilihan raya.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, ini bagi memelihara integriti, tata kelola dan elemen murni selaras dengan penerapan nilai berkenaan dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pada ketika Perdana Menteri sedang fokus menaikkan martabat integriti negara, para menteri mestilah seiring melaksanakan etika yang baik ini, walaupun ia tidak melanggar mana-mana peraturan atau undang-undang yang sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambah Jais, kerajaan juga perlu mengutamakan integriti seperti mana yang dilaung dan diperjuangkan ketika menjadi pembangkang dahulu.

“Perdana Menteri dan kebanyakan anggota Kabinet sekarang adalah golongan yang sentiasa mengecam perbuatan ini dahulu dan punyai kesedaran tinggi tentang perbuatan yang tidak bermoral tersebut.

“Pengumuman projek tertentu yang telah diluluskan lama sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) berlangsung sering berlaku di Malaysia dan amalan kerajaan terdahulu itu menyebabkan rakyat menolak parti tersebut. Ia sepatutnya tidak berulang lagi,” katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan mengambil iktibar daripada keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu yang membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan wujud perbuatan rasuah.

“Ia membazirkan harta dan masa rakyat. Mahkamah menyabitkan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

“Integriti, tatakelola dan etika bukanlah setakat diucapkan sahaja, sebaiknya mesti disusuli dengan dengan tindakan dan amalan sebagai bukti nyata,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!