Inspirasi legenda EPL di Bukit Jalil

Legenda bola sepak pasukan Manchester United FC Paul Rachubka (kiri), David May (dua dari kiri) bersama legenda bola sepak pasukan Liverpool FC Jason McAteer (dua,kanan) dan David James (kanan) pada sesi ramah mesra bersama peminat di Butik Fipper, Sunway Pyramid, Selangor pada Jumaat. Foto Bernama
Legenda bola sepak pasukan Manchester United FC Paul Rachubka (kiri), David May (dua dari kiri) bersama legenda bola sepak pasukan Liverpool FC Jason McAteer (dua,kanan) dan David James (kanan) pada sesi ramah mesra bersama peminat di Butik Fipper, Sunway Pyramid, Selangor pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

AKSI Battle of The Reds yang menemukan Manchester Reds dan Liverpool Reds bakal mengimbas nostalgia peminat bola sepak tempatan menerusi penampilan legenda Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Malah pertemuan nostalgia kedua-dua pasukan mampu memberi inspirasi buat penyokong lama dan generasi baharu di negara ini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, generasi baharu turut meminati legenda kedua-dua pasukan, biarpun mereka bukan berada dalam era kegemilangan ketika mereka beraksi sekitar 90-an dan awal 2000.

“Sudah pasti aksi pertunjukan (Battle of The Reds) antara legenda EPL yang hebat ini memberi inspirasi kepada penyokong kedua-dua pasukan. Generasi lama seperti saya dan baharu ketika ini.

“Generasi baharu tengok video lama dan kenal (legenda kedua-dua pasukan). Macam anak bongsu saya yang berumur sembilan tahun kenal Berbatov (Dimitar-pemain Manchester Reds. Perlawanan ini memberi kesan yang baik kepada penyokong EPL di Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga penyampai radio ditemui media selepas menjadi moderator Talk Show Battle of The Reds - Tune Into Triumph bersama Jakeman Abdullah di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Talk Show itu disertai empat pemain Liverpool Reds, Vladimir Smicer, Steve McManaman, Luis Garcia dan John Arne Riise, manakala Manchester Reds dibarisi Wes Brown, Paul Rachubka, Danny Webber dan Berbatov.

Perbincangan mereka berkisar kepada pengalaman ketika beraksi di EPL, topik mengenai kesihatan mental dan mengenali dialek Melayu tempatan seperti lepak dan amboi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Khairy yang juga peminat Manchester United memilih pasukan kegemarannya sebagai pilihan untuk meraih kemenangan ke atas Liverpool Reds.

“4-2 kemenangan berpihak kepada Manchester Reds. Saya nampak semangat penyokong Manchester Reds lebih tinggi berbanding Liverpool Reds,” katanya.

Dalam pada itu, Garcia menjanjikan satu perlawanan terbaik bakal disajikan oleh kedua-dua pasukan.

“Diharapkan perlawanan yang terbaik nanti, saya fikir kami bermain beberapa kali dengan Manchester Reds dan mereka adalah satu pasukan yang terbaik.

“Mereka selalu menampilkan perlawanan yang berkualiti dan pastinya kami seronok untuk lalui perlawanan itu.

"Saya yakin fanatik yang datang akan melalui satu perasaan yang teruja dan gembira,” katanya.

Perlawanan pertunjukan tersebut dianjurkan oleh AllStar Sports Sdn Bhd dengan kerjasama World Football League (WFL), ACO Media dan Tune Protect.

Selain empat pemain itu, skuad Manchester Reds bakal membariskan David May, Clayton Blackmore, Keith Gillespie, Ben Thornley, Eric Djemba Djemba, Russell Beardsmore, Lee Martin, Mikael Silvestre, Quinton Fortune, Erik Nevland dan Dion Dublin.

Liverpool Reds pula akan turut diperkuat oleh Emile Heskey, Glen Johnson, Patrik Berger, Jason McAteer, Florent Sinama, John Durnin, David Thompson, Jermaine Pennant, Djibril Cisse, dan Phil Babb.

Kesemua pemain bakal menerima piring piuter sebagai tanda penghargaan atas semangat kesukanan mereka.

Hadiah tersebut bukan sahaja melambangkan simbol kemenangan perlawanan, tetapi sebagai simbolik kecemerlangan yang menjadi dukungan Manchester Reds dan Liverpool Reds.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!