[VIDEO] Henti boikot KK Mart: Mufti Perak

A
A
A

IPOH - Umat Islam di negara ini digesa menghentikan tindakan memboikot kedai serbaneka KK Mart kerana ia tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam.

Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh berkata, prinsip keadilan sejagat mempunyai kedudukan yang suci dalam Islam bahawa keadilan wajib ditegakkan terhadap semua kaum sama ada disukai atau tidak.

Menurutnya, mengikut kaedah kehakiman Islam, satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya atau alqasdul jinael tetapi elemen itu tidak boleh dibuktikan melalui pembuktian langsung sebaliknya dengan pengakuan atau melalui kaedah pembuktian qarainul ahwal iaitu bukti keadaan.

Wan Zahidi menunjukkan teks kenyataan berhubung tindakan memboikot KK Mart selepas sidang media di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Negeri Perak pada Jumaat.
Wan Zahidi menunjukkan teks kenyataan berhubung tindakan memboikot KK Mart selepas sidang media di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Negeri Perak pada Jumaat.

"Daripada penjelasan yang dibuat oleh pihak pengurusan KK Mart dan permohonan maaf secara terbuka terhadap insiden yang berlaku serta penjelasan yang dibuat kepada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), ternyata kewujudan rukun alqasdul jinaein ini tidak dapat dibuktikan. Dengan demikian, berasaskan kaedah kehakiman Islam, tuduhan menghina agama Islam terhadap pengurusan KK Mart tidak terbukti.

"Saya berkeyakinan pernyataan ini adalah amanah yang wajib disampaikan sebagaimana yang diperintahkan dalam surah An-Nisaa ayat 58. Apabila isu ini disensasikan dengan menyemarakkan sentimen kebencian dan kemarahan, maka cara menanganinya telah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam sejagat," katanya dalam satu sidang media di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Negeri Perak pada Jumaat.

Wan Zahidi selepas sidang media di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Negeri Perak pada Jumaat.
Wan Zahidi selepas sidang media di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Negeri Perak pada Jumaat.

Wan Zahidi berkata, tindakan memboikot terhadap sesuatu kaum tidak selari dengan sunnah Rasulullah SAW berdasarkan kisah Baginda meminta Ketua Qabilah Yamamah Thumamah bin Uthal supaya menghentikan sekatan bahan makanan kepada kaum Quraisy yang bermusuhan terhadap Islam.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kisah tersebut mencerminkan keluhuran akhlak Baginda yang tidak membenarkan bahan makanan sebagai hak asasi paling utama dalam kehidupan manusia digunakan sebagai senjata dalam pertikaian.

"Rasulullah membentuk piagam Madinah bagi mengatur hubungan antara pelbagai etnik dalam negara Islam pertama yang ditubuhkan di Madinah. Piagam ini menyamaratakan hak dan tanggungjawab antara warga Muslim dan bukan Muslim.

"Piagam ini menyatakan bahawa warga bukan Muslim membentuk satu ummah bersama umat Islam. Diri dan harta benda mereka dilindungi sama seperti harta benda warga Muslim.

"Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW menyatakan bahawa sebarang penganiayaan terhadap warga bukan Muslim akan berhadapan dengan pendakwaan oleh Baginda sendiri di akhirat kelak, malah menganggap tindakan sedemikian seperti ditujukan kepada Baginda sendiri," katanya.

Sementara itu, Wan Zahidi berkata, Rasulullah SAW memperingatkan para pendakwah supaya sentiasa menyebarluaskan perkara-perkara yang mencerminkan harapan dan tidak membangkitkan isu-isu yang boleh membawa kepada kerengganan

Jelasnya, dakwah Islamiah memerlukan suasana tenang dan damai serta hubungan yang harmoni antara kaum-kaum yang menganut pelbagai agama.

Menurutnya, al-Quran memberi panduan kepada umat Islam agar menggunakan pendekatan berhikmah dan tutur kata yang baik dalam misi dakwah mereka seperti yang dinyatakan dalam surah An Nahl, ayat 125.

Ditanya mengapa baharu sekarang kenyataan tersebut dikeluarkan, Wan Zahidi berkata, ia perlu mengambil masa kerana kerana rujukan ilmiah perlu dibuat bersandarkan fakta-fakta yang sahih di samping mengambil kira perkembangan semasa.

Katanya, kenyataan tersebut juga perlu diterangkan bagi membendung tindakan-tindakan ekstrem yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang Islam seperti membakar dan merosakkan premis kedai serbaneka tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa kenyataan tersebut tidak langsung mengganggu proses mahkamah yang sedang dihadapi oleh pemilik kedai serbaneka tersebut sebaliknya ia hanya menyentuh soal prinsip keadilan dalam Islam.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Susulan itu, pada 16 Mac, pengurusan KK Super Mart dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ALLAH di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Kira-kira dua minggu selepas itu KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd, Pengasas Kumpulan syarikat itu, Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Kesemua mereka masing-masing berdepan satu pertuduhan melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah ALLAH, dua minggu lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!