Dapatkan khidmat pengawal peribadi syarikat berlesen - PIKM

Syarikat berkenaan juga perlu mempunyai perlindungan insurans bagi memastikan kebajikan pekerja terjaga sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini. (Foto 123RF) Gambar kecil: Ubaidillah
Syarikat berkenaan juga perlu mempunyai perlindungan insurans bagi memastikan kebajikan pekerja terjaga sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini. (Foto 123RF) Gambar kecil: Ubaidillah
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan perkhidmatan keselamatan dan pengawal peribadi daripada syarikat yang berlesen oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Ubaidillah Enam@Iman berkata, syarikat berkenaan juga perlu mempunyai perlindungan insurans bagi memastikan kebajikan pekerja terjaga sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini

Menurutnya, PIKM juga menyarankan agar penambahbaikan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa diambil tindakan segera terhadap rejim latihan dan perakuan di samping memperbaiki keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA).

“PIKM juga menegaskan Akta Agensi Persendirian 1971 yang telah berusia 53 tahun perlu dipinda segera oleh pihak berkuasa bagi memastikan wujudnya garis panduan yang teratur agar semua pemain industri khususnya pekerja keselamatan terus terlindung di bawah akta ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai insiden tembakan yang berlaku di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) yang mencederakan seorang pengawal peribadi baru-baru ini.

Ubaidillah berkata, kerjasama strategik antara KDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PIKM telah diwujudkan pada tahun 2016 supaya semua pengawal peribadi syarikat keselamatan wajib dilatih dan diperakui oleh PDRM.

“Lebih penting adalah individu yang dilantik sebagai pengawal keselamatan, termasuk pengawal peribadi perlu melepasi tapisan keselamatan oleh KDN dan PDRM untuk memastikan bebas daripada sebarang rekod jenayah lampau,” katanya

Tambahnya, latihan dan perakuan Certified Bodyguard (CBG) perlu diambil sebagai syarat pembaharuan permit membawa dan menggunakan senjata api [Carry & Use (C&U)] bagi pengawal peribadi yang bersenjata.

Artikel Berkaitan:

“Arahan ini telah dimulakan pada tahun 2018 dan setakat ini hanya 84 orang pengawal peribadi yang telah menjalani latihan dan diperakui oleh PDRM.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa kekangan menyebabkan inisiatif dan arahan ini tidak berjalan lancar,” katanya.

Jelasnya, sehingga kini terdapat pengusaha-pengusaha yang perniagaan pengawal peribadi tanpa lesen oleh KDN khususnya pelanggan dari kalangan VVIP dan selebriti.

“Ini harus dipantau dan diambil tindakan segera oleh pihak berkuasa. Kekeliruan ini berlaku kerana tidak semua segmen perkhidmatan keselamatan tertakluk di bawah Akta Agensi Persendirian 1971 seperti installer and integrator system keselamatan dan bodyguarding.

“Adalah jelas, insiden yang berlaku membabitkan seorang pengawal peribadi yang tidak diperakui mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan. Begitu juga dengan syarikat yang terlibat.

“Insiden serius ini telah melibatkan risiko nyawa pelanggan (prinsipal), orang awam dan juga pengawal peribadi," katanya.

Ujarnya, dari sudut kebajikan pengawal peribadi yang dilantik oleh syarikat keselamatan berlesen, adalah wajib menyediakan insurans, mencarum PERKESO dan caruman statutori lain terutama bagi perlindungan kemalangan semasa bertugas.

“Perkara yang dinyatakan di atas membezakan pengawal keselamatan peribadi secara sambilan yang tidak berdaftar di bawah KDN,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!