Tahniah suami berpoligami yang adil

Tahniah diucapkan kepada suami yang mampu berlaku adil dalam berpoligami dan isteri yang boleh membina syurga dunia suami sepanjang bermadu. Gambar hiasan 123rf
Tahniah diucapkan kepada suami yang mampu berlaku adil dalam berpoligami dan isteri yang boleh membina syurga dunia suami sepanjang bermadu. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

MENONTON drama di televisyen atau membaca novel yang dikaitkan dengan 'penyondol' memang akan memberi kesan kepada masyarakat terutama golongan wanita berkahwin.

Apabila membelek komen netizen di media sosial, wanita kedua, ketiga dan keempat tetap dianggap bersalah.

Watak yang diketengahkan turut memberi kesan kepada sebahagian wanita sekali gus 'menukar' pemikiran mereka bahawa perkahwinan kedua seolah-olah satu dosa.

Realitinya, perkahwinan kedua turut menjadi punca perceraian kerana tidak mahu bermadu selain beberapa faktor yang mungkin dianggap remeh.

Tahun lalu, Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan kadar perceraian di negara ini menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada 43,936 kes pada tahun 2021 kepada 62,890 kes pada tahun 2022.

Ia merupakan peningkatan sehingga 43.1 peratus dan kadar tertinggi yang direkodkan sejak tahun 2016.

Lebih menyedihkan perceraian pasangan Islam meningkat 45.8 peratus pada tahun lepas iaitu 46,138 kes berbanding 2021 iaitu sebanyak 31,650 kes.

Perceraian pasangan bukan Islam juga meningkat 36.4 peratus daripada 12,286 kes kepada 16,752 kes bagi tempoh sama.

Artikel Berkaitan:

Lebih membimbangkan berdasarkan statistik perkahwinan dan perceraian tersebut, kadar perceraian tertinggi berlaku dalam kalangan pasangan yang masih muda iaitu di bawah usia 39 tahun.

Tidak tahu di mana silapnya namun sebenarnya setiap pasangan memerlukan tolak ansur yang tinggi selain tidak mudah menyalahkan suami atau isteri.

Sudah tentu tidak akan ada yang mahu mengaku salah jika berlaku poligami malah masing-masing akan menuding jari kepada pasangan yang tentunya menjadikan orang ketiga lebih 'berbangga' dan rasa dihargai suami.

Situasi itu berlaku jika pasangan saling mengetahui tetapi bagaimana pula keadaan isteri pertama apabila mendapat tahu diri dimadukan selepas suami meninggal dunia.

Banyak perkara yang dikongsi daripada pengguna media sosial bahawa kematian suami bukan noktah penyelesaian bermadu.

Mereka perlu memikirkan pembahagian harta yang mungkin tidak menjadi milik kepada individu yang sepatutnya berhak terutama jika isteri kedua itu sejenis 'pisau cukur'.

Bertabahlah wanita yang bergelar isteri pertama terutama jika mereka tidak mempunyai anak lelaki dan suami pula meninggalkan segalanya tanpa melakukan hibah.

Ketika itu mereka bukan sahaja terpaksa berdepan madu 'pahit' malah ada lagi 'langau' dalam keluarga suami yang sama naik mahu menuntut harta.

Sebagai seorang isteri, setiap wanita perlu mempunyai ilmu pengetahuan supaya mereka tidak tertipu kerana terlalu bergantung harap kepada suami.

Bacalah lebih banyak perkongsian peguam syarie atau mereka yang arif berkaitan isu itu kerana dapat membantu dalam aspek pembahagian harta atau untuk menyelamatkan rumahtangga.

Bagaimanapun, tahniah diucapkan kepada suami yang mampu berlaku adil dalam berpoligami dan isteri yang boleh membina syurga dunia suami sepanjang bermadu.

Ramai juga yang boleh dijadikan contoh bahawa tenangnya suami atau isteri yang boleh menerima situasi itu serta tidak kekok untuk saling mengenali.

Selain itu, laporan DOSM turut menyebut kes perceraian tertinggi bagi lelaki Islam melibatkan kumpulan umur 30 hingga 34 tahun iaitu sebanyak 9,196 orang.

Ia diikuti dengan kumpulan umur 35 hingga 39 tahun iaitu seramai 8,894 orang, manakala kumpulan ketiga tertinggi ialah 25 hingga 29 iaitu seramai 6,757 orang.

Kita semua tahu tidak ada pasangan yang mahu berpisah terutama selepas memiliki cahayamata, namun jika tiada penyelesaian jalan terbaik ialah perpisahan.

Perceraian dalam usia itu mungkin boleh dianggap tidak wajar namun kata orang, "mungkin sudah tiada jodoh."

Jangan terlalu berpegang kepada ayat itu kerana paling penting ialah perbaiki sikap dan tingkah laku menjadi lebih baik setiap hari sebagai bukti menghargai pasangan.

Perkara paling remeh ialah suami perlu mengubah tabiat hanya menunggu di meja makan menanti hidangan atau isteri yang hanya memegang senduk kuali sebulan sekali.

*Penulis ialah wartawan Sinar Harian Kelantan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!