Sinar Harian juarai kategori media elektronik Anugerah Media SPRM

Sinar Harian diumumkan sebagai pemenang utama kategori media elektronik sempena Anugerah Media SPRM 2023, di ibu negara pada Jumaat.
Sinar Harian diumumkan sebagai pemenang utama kategori media elektronik sempena Anugerah Media SPRM 2023, di ibu negara pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Laporan eksklusif bertajuk 'SPRM 'ambush' raja scammer' melonjakkan Sinar Harian sebagai pemenang utama kategori media elektronik sempena Anugerah Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2023, pada Jumaat.

Laporan itu dihasilkan Ketua Unit Docu, Salmiah Druhamad Drahsin; Pengarah Video, Rizal Rozy dan juruvideo, Muhammad Hafiz Adnan.

Bagi anugerah itu, mereka membawa pulang hadiah RM8,000 bersama plak dan sijil.

Anugerah yang berlangsung di Hotel Impiana KLCC itu disampaikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Azam sebelum itu turut mengumumkan tambahan RM2,000 wang kemenangan menjadikan keseluruhan RM8,000.

Anugerah Media SPRM 2023 adalah penganjuran kali keempat sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2020 oleh SPRM yang bertujuan mengiktiraf karya-karya kewartawanan berkaitan dengan isu-isu rasuah.

Menurut Azam, terima kasih tidak terhingga kepada pihak media yang selama ini membantu menyebar luas publisiti mengenai SPRM terutama berkait operasi dan pencegahan rasuah.

"Anugerah ini simbolik kepada sumbangan media penerbitan dan media cetak.

"Anugerah sebegini akan diteruskan pada masa akan datang dan pelbagaikan lagi kategori selain dapat berjumpa serta menambah akrab antara SPRM dan media," ujarnya kepada pemberita di sini.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, penentuan pemenang menyertai Anugerah Media SPRM 2023 diadili dua pakar media iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Mustapa Omar dan Penasihat Editorial Bebasnews, Datuk Mohd Zaini Hassan serta dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Jules Rahman Ong.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Malaysian Press Institute (MPI); Datuk Mustapa Omar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!